Sunday, May 15, 2011

KEJUJURAN DAN KESETIAAN YANG PERLU DIMILIKI

Salam Perjuangan,
   Selamat hari guru buat para guru yang gigih menabur bakti kepada watan. Segala jasa dan pengorbanamu akan disanjung zamam berzaman. Siapalah kita tanpa mereka, para guru yang berjasa. Sudah agak lama tidak menurunkan tinta di persada Bicara Perjuangan ini. Adakalanya agak sukar untuk melepaskan diri dari alasan-alasan yang seringkali memenjarakan kita ke dalam penjara buatan sendiri walau ada desakan halus di sanubari agar menulis..menulis dan menulis.

  Ada ketika kita menulis semata-mata kerana mahu menulis. Seringkali ada yang menulis kerana ingin meluahkan apa yang terbuku di lubuk hati. Begitulah sifat manusia sebagaimana pancaindera yang dikurniakan oleh Allah kepada kita umpama mata  agar kita memerhati bukan sekadar melihat, lidah untuk membicarakan kebenaran bukan sekadar menghamburkan pertuturan, telinga untuk mendengar kebaikan bukan sekadar fitnah yang menerjah, akal untuk menilai bukan hanya membuat keputusan mengikut selera nafsu semata malah hati umpama raja yang haruslah diisi dengan keimanan agar dapat membawa manusia menjalani kehidupan sebagai khalifah di bumi Allah yang fana ini. Apatah lagi bagi kita para pejuang yang berjuang bukan kerana habuan dunia tapi untuk mendapat redho Allah di Yaumil Mahsyar.
  Ada ketikanya kita berbeza pendapat malah mungkin perbezaan uslub dalam melaksanakan gerak kerja tetapi jangan kerana perbezaan yang kecil ini kita membiarkan Iblis Laknatullah mengambil tempat di hati kita lalu memisahkan kita dari matlamat asal untuk mendapat redho Allah. Sebagai pejuang gerakan Isalam sayugia kita mestilah lebih mengutamakan kepentingan Jamaah berbanding personal mileage. Sebagai pejuang kita harus memiliki mekanisma untuk menilai gerak kerja yang dilakukan olen sahabat-sahabat kita bagi mengenal pasti samada mereka itu bergerak di atas landasan kebenaran atau lebih menjurus kepada kepentingan peribadi.
   Gunalah mata yang di kurniakan Allah untuk memerhati segala tindakan, gunakan telinga untuk mendengar samada ungkapan yang dihamburkan mempunyai virus fitnah atau kebenaran, ajaklah akal untuk menilai, menilai, menilai dan menilai berpandukan keimanan yang bertakhta di hati, keilmuan yang mendakap diri. Jangan biarkan nafsu yang didorong oleh Iblis menguasai akal semasa memutuskan rancangan dan tindakan. Dewasa ini ramai manusia menggunakan kepetahan lidah untuk meraih cita-cita peribadi atas kealpaan dan ketololan rakan dan sahabat. Ketidak akraban bukanlah alasan untuk menidakkan kebenaran malah keakraban jangan dijadikan sebab untuk membutakan mata terhadap kepincangan.
  Dalam mengharungi perjuangan yang masih panjang ini, seorang pejuang tulen akan mendakap erat kejujuran diri, dan menyimpul kemas kesetiaan terhadap jamaah. Keciciran salah satu dari dua perkara ini akan menjadikan jiwa perjuangan itu pincang umpama pria tanpa kejantanan. Pandanglah diri kita, adakah kita memiliki sifat-sifat ini? Seringkali kita mampu untuk setia kepada jamaah  namun ramai yang tewas bila berhadapan persoalan kejujuran terhadap diri. Bukan jujur terhadap orang lain atau jujur terhadap jamaah. Hanya jujur terhadap diri. Kesetiaan kita kepada jamaahlah yang mendorong kita menginfaqkan wang, masa malah meninggalkan keluarga demi memenuhi tuntutan gerakkerja jamaah samada dalam pilihanraya hatta program masuk kampung bertemu rakyat. Namun adakan kesetiaan kepada jamaah itu benar-benar untuk kepentingan jamaah atau ada bisikan halus yang mendesak kita agar setia kerana melihat di penghujung kesetiaan itu ada ruang untuk kita berdiri gagah dan tersenyum megah?
   Kita menang bukan kerana kita kuat atau lawan kita lemah tetapi kita menang kerana rahmat Allah. Kemenangan kita bukanlah mutlak bahkan kemenangan merupakan satu ujian kepada kita seluruh pejuang yang menginfaqkan diri dan nyawa kita kepada Allah SWT. Galilah ilmu perjuangan dari sirah Nabi SAW, jadikan para ulamak pewaris para nabi sebagai pimpinan dan ambillah Kitabullah sebagai panduan dalam seluruh kehidupan. Apabila kita berselisihan maka kembalilah kepada sunah Rasul dan Al Quran. Tiada istilah kekalahan bagi pejuang tulen. Teruskan perjuangan samada menang di dunia atau gugur dan mendapat redho Allah semasa mengadapNya di Padang Mahsyar kelak. Allah hu Akbar.


No comments:

Post a Comment