Friday, June 17, 2011

GSTT ; TPM berbohong ?

   Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Utusan Borneo 17hb. Jun 2011 (Jumaat) telah melaporkan desakan Datuk Masidi Manjun yang merupakan Menteri Pelancongan merangkap Exco Pelajaran Negeri Sabah agar Kementerian Pelajaran Malaysia segera menunaikan janji bagi menyerap Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT)  ke sekolah-sekolah di Sabah. Janji ini telah  dibuat oleh Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia beberapa ketika yang lalu namun sehingga kini janji tersebut  belum lagi menampakkan sebarang tanda positif. Beliau juga katanya ada berbincang dengan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pelajaran Malaysia, Dato' Asariah Mior Shahabudin berkenaan janji Menteri ini namun diberitahu bahawa KPM sedang berbincang dengan Jabatan Pelajaran berkenaan pelaksanaan GSTT tersebut. Sekiranya ia dilaksanakan maka pelaksanaan itu akan dibuat secara berfasa mengikut keperluan sekolah-sekolah yang terlibat.
   Ini merupakan sesuatu yang menarik untuk dibincangkan memandangkan dalam satu program bertemu pelanggan oleh Datuk Pengarah Pelajaran Sabah dengan kalangan pendidik dan PIBG di Nabawan bulan Mei yang lalu, beliau telah membayangkan bahawa persoalan GSTT ini umpama asap yang kelihatan menjulang ke awan dari kejauhan namun gagal di kesan dari manakan punca asap tersebut bermula. Jika ditinjau dari dua kenyataan tokoh pusat dan negeri ini, kita tertanya-tanya adakah janji yang diungkapkan oleh seorang menteri yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri itu sekadar janji orang politik gaya UMNO yang sering berbohong kepada rakyat? Bagaimana seorang Timbalan Perdana Menteri boleh berjanji sedangkan pihak Kementerian belum membuat kajian terhadap kekurangan dan keperluan mengenai GSTT ini? Sebenarnya kekurangan guru di Sabah telah memasuki tahap yang membimbangkan malah ada guru-guru di sekolah pedalaman terpaksa melakukan tugas mengajar tambahan di sebabkan tiada guru untuk subjek-subjek tertentu. Ini bukan sahaja membebankan guru malah boleh mendatangkan kesan yang negetif kepada pelajar memandangkan guru-guru ini terpaksa mengajar subjek yang bukan menjadi kemahiran mereka.
  Kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran bahawa kementerian sedang menilai keperluan terhadap GSTT ini menunjukkan bahawa selama ini kerajaan tidak mempunyai maklumat berkenaan keperluan guru-guru di negara kita atau mungkinkah beliau terpaksa mencari helah untuk menyelamatkan pembohongan Menteri Pelajaran . Ini merupakan sesuatu yang amat malang kepada rakyat dan anak-anak kita yang sedang belajar di bangku sekolah memandangkan rakyat telah memberi kepercayaan kepada UMNO-BN untuk menerajui kerajaan selama lebih 50 tahun. Sekarang kita baru mengetahui bahawa rupanya kerajaan gagal menjalankan tanggungjawab yang terbaik untuk rakyat apatah lagi pendidikan merupakan kunci kepada kejayaan atau kegagalan sesebuah negara tersebut. Adakah kerajaan UMNO-BN sedang memperjudikan nasib rakyat dan negara dengan mengurus tadbir kementerian-kementerian secara sambil lewa? Sepatutnya seorang menteri hanya akan mengeluarkan kenyataan atau janji selepas mendapat maklumat yang lengkap dan sahih dari kementerian. Pengambilan GSTT melibatkan beberapa kementerian termasuk KPM, Kem Kewangan dan JPA kerana ia memerlukan peruntukan kewangan yang besar.
   Para GSTT yang sedang menunggu tawaran dinasihatkan agar berdoa supaya Perdana Menteri membubarkan Parlimen pada tahun ini. Jika ini berlaku kita yakin para GSTT akan mempunyai harapan yang cerah sekurang-kurangnya untuk setahun kontrak perkhidmatan. Kita melihat kerajaan UMNO-BN lebih berminat berjanji dan bertindak demi memenuhi keperluan politik UMNO semata-mata. Sekiranya kerajaan peka dengan kekurangan guru dan bersungguh-sungguh untuk mengangkat martabat pelajaran rakyat dan negara maka sudah tentu GSTT ini telah dipanggil berkhidmat selepas beberapa minggu  ungkapan janji dilontarkan oleh menteri berkenaan. Rakyat haruslah bijak menilai janji seorang ahli politik UMNO-BN yang licik memanipulasikan kesetiaan membuta tuli rakyat terhadap mereka. Berbaloikah kesetiaan rakyat Sabah selama lebih 40 tahun terhadap UMNO-BN  jika soal pendidikan rakyat yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri manusia itu dijadikan modal permainan politik sempit mereka? Barangkali rakyat perlu menilai secara bersungguh-sungguh tawaran yang dibuat oleh Pakatan Rakyat untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat jika PR memerintah. Ketepikan sentimen 'orang kita' untuk sementara kerana selalunya kita akan mudah diperdaya oleh 'orang kita'  berbanding orang bukan 'orang kita'. 'Orang kita' yang kita harapkan itu biasanya akan membesarkan rumah, membesarkan kereta, membesarkan simpanan dan pelaburan, membesarkan tanah malah segala-galanya besar kecuali kita yang akan terus miskin dan kecil. Nilailah 'orang kita' dari sudut khidmat dan kesungguhan mereka terhadap kesejahteraan hidup rakyat seluruhnya bukan dari sudut kaum kerabatnya semata-mata. Semua rakyat Sabah, jom, kita berubah !
  


   


Friday, June 3, 2011

KENYATAAN DANGKALSAPP

  Kenyataan Naib Presiden SAPP, Dulli marie yang menyebut bahawa pemimpin politik Pakatan Rakyat  dari Semenanjung khasnya Lim Kit Siang dan DAP sebagai mempunyai mentaliti penjajah dalam mengutarakan pandangan berkenaan Sabah kelihatan sangat dangkal. Nampaknya SAPP melalui Dullie cuba menjadi jaguh kampung dan melupakan sejarah bagaimana mereka dahulunya berada bersama kerajaan UMNO-BN dan telah gagal untuk memanfaatkan peluang itu untuk mengubah kedudukan rakyat Sabah khasnya yang mereka wakili melalui Wakil Rakyat mereka ke arah yang lebih baik namun bersekongkol untuk menjajah pemikiran dan harta rakyat. Pengunduran SAPP dari komponen BN lebih disebabkan oleh perasaan tidak puas hati dalam pembahagian jawatan dan kedudukan politik bukannya kerana mahu membela rakyat Sabah secara jitu. Sebagai rakyat Sabah,  walaupun dilahirkan di Semenanjung saya suka mengingatkan Saudara Dullie dan SAPP amnya bahawa politik sentimen akan menemui jalan buntu suatu masa nanti dan kelihatannya masa itu sudah semakin hampir. Jangan sama sekali cuba meneruskan tabiat buruk semasa berada dalam komponen BN sekiranya mahu terus releven kepada perjuangan rakyat sekarang.
  Tidakkah beliau ingat bagaimana SAPP hanya berada di tempat terakhir dalam PRK Batu Sapi walhal Presiden mereka pernah menjadi Ketua Menteri Sabah. Pakatan Rakyat sangat komited untuk membela keseluruhan rakyat Sabah tanpa mengira agama dan keturunan. Walaupun PAS, PKR dan DAP berlainan ideologi, namun kami berjaya mengecilkan saiz perbezaan tersebut dan dapat berkerjasama dan mencapai titik pertemuan demi untuk kebajikan rakyat yang kami wakili malah kami telah membuktikannya di Selangor, Pulau Pinang,Kedah, Kelantan dan Perak sebelum kerajaan PR yang sah dirampas oleh mahkamah UMNO.
Rakyat Sarawak telah membuktikan bahawa istilah parti luar, parti semenanjung dan berbagai istilah ciptaan talibarut UMNO-BN telah pecah dan PR telah menang di 15 kerusi. Apakah Dullie lupa bagaimana parti dominasi cina tempatan telah gagal mendapat sokongan? Kegagalan dan kejayaan bukan disebabkan oleh samada parti tempatan atau semenanjung tetapi rakyat menilai dan mandapati bahawa parti- parti dalam gabungan Pakatan Rakyat dapat melaksanakan pelan pembangunan yang dijanjikan kepada rakyat dengan baik. Kelantangan Lim Kit Siang dan DAP terhadap SAPP tentulah bersebab memandangkan SAPP yang lebih dahulu menonjolkan sikap bongkak mereka. Kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin SAPP sangat menyinggung perasaan pemimpin PR dan ahli-ahlinya.
  Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang semasa membuat ucapan di majlis mengumumkan calon PR dalam PRK Batu Sapi dahulu, telah menegaskan sekiranya PR memerintah, PAS sebagai salah satu rakan utama PR akan memastikan bahawa PR akan melaksanakan pemerintahan yang penuh adil, telus dan dedikasi kepada seluruh rakyat samada Sabah, Sarawak atau Semenanjung. Malah beliau memberi jaminan bahawa PR akan melaksanakan amalan federalisma yang sebenarnya dengan memastikan hasil petroleum sesebuah negeri itu dibelanjakan untuk keperluan samada pembangunan, pendidikan dan sebagainya bagi negeri tersebut terlebih dahulu sebelum diambil oleh Kerajaan Pusat. Jaminan ini bukan semata-mata cakap politik sebagaimana yang pernah diucapkan oleh Presiden SAPP semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah dahulu. Sekiranya Dullie dan partinya SAPP benar-benar mahu melaksanakan kebaikan untuk rakyat Sabah maka sudah sampai masanya SAPP memikirkan secara serius tindakan yang bakal dilaksanakan menjelang PRU 13 nanti. Jangan bercakap seolah mahu membela rakyat tetapi bertindak sebaliknya tanpa mempedulikan samada apa yang mereka lakukan akan memberi kesan terhadap perjuangan rakyat dalam usaha menumbangkan UMNO-BN.  Rakyat mempunyai akses yang luas kepada maklumat sekarang ini maka tindakan membodohkan rakyat dengan kenyataan-kenyataan dangkal akan merugikan SAPP sendiri. Memang tidak dapat dinafikan terdapat kalangan rakyat yang terpengaruh dengan politik perkauman seumpama ini namun kita harus menjadi lebih rasional samada mahu membawa rakyat berundur kebelakang atau memacu mereka ke hadapan untuk menumbangkan UMNO-BN dan mengambil alih tampuk pemerintahan agar kita dapat membetulkan segala kerosakan yang telah dilakukan oleh UMNO-BN. Adalah lebih baik Dullie dan SAPP memfokuskan serangan dan propoganda media terhadap UMNO-BN yang menjadi musuh politik bersama  yang sedang cuba dijatuhkan oleh PR dari cuba memecahbelahkan kesepakatan rakyat terhadap PR dalam menghadapi UMNO-BN yang telah merosakkan negara dan rakyat selama sedekad yang lalu. Saya ingin mengutarakan kepada Saudara Dullie dan SAPP agar membantu dan berkerjasama dengan PR secara jujur serta bersungguh-sungguh dalam usaha mengakhiri legasi pemerintahan UMNO-BN samada di peringkat Persekutuan atau negeri Sabah. Dengan menguasai kerajaan Persekutuan sahaja kita dapat mengubah perlembagaan negara yang mengandungi perkara-perkara yang merugikan negeri-negeri dan rakyat seluruhnya. Jangan menjadi seperti orang yang asyik mempertikaikan mana yang lebih dahulu samada ayam atau telur. Sebaliknya fikirlah apa yang boleh dilakukan dengan ayam dan telur tersebut untuk rakyat seluruhnya.