Wednesday, November 30, 2011

HOSPITAL KENINGAU : Hak rakyat yang diabaikan

   Salam perjuangan, Pada 16hb. November 2011 jam 1.30 am saya dimasukkan ke wad pembedahan 2B Hospital Keningau selepas beberapa hari berulang-alik ke Jabatan Kecemasan bagi mendapatkan suntikan pain killer akibat kesakitan di bahagian bawah dada kanan. Doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan pada malam tersebut telah melakukan ujian ultrasound dan mendapati seakan terdapat bendasing yang beliau takrifkan sebagai (kemungkinan) jangkitan kuman pada hempedu atau batu dalam hempedu. Saya dirujuk ke wad pembedahan 2B sebagai satu alternatif agar doktor perubatan kanan di wad berkenaan dapat mengambil langkah selanjutnya samada dilakukan ujian ultrasound ulangan oleh pakar radiologi Hospital keningau atau ujian OGDFS bagi mengesan sekiranya terdapat luka di dalam perut atau usus yang juga boleh mengakibatkan rasa sakit tersebut. Sebagai 'orang sakit' yang tidak mempunyai pengetahuan dalam kes-kes begini , saya mengambil serious setiap pandangan yang diberikan oleh doktor walaupun beliau seorang junior kerana saya yakin beliau telah melalui beberapa proses sebelum dapat diterima berkhidmat di hospital. Malangnya selepas menunggu sehingga hari jumaat 18hb. November 2011 tiada sebarang penerangan yang diberikan oleh doktor perubatan kanan atau pakar pembedahan wad tersebut kepada saya. Malah 3 hari yang berlalu itu saya diberikan suntikan ubat gastrik walau tiada sebarang ujian pengesahan dilakukan. Apabila kesakitan , diberikan suntikan pain killer. Akhirnya selepas bergaduh dengan pakar pembedahan berbangsa Myammar barulah saya dirujuk untuk melakukan ujian OGDFS pada 21hb. November dan diminta untuk melakukan ujian ultrasound di Hospital Pakar Rafflesia, Kota Kinabalu. Ujian OGDFS membuktikan tiada sebarang luka dalam perut atau usus dan ujian ultrasound oleh pakar radiologi di Hospital Pakar Rafflesia menunjukkan terdapat batu karang bersaiz 1 cm berhampiran pundi kencing saya. Ironinya saya diberi ubat tanpa didiagnosis terlebih dahulu dan tempoh masa untuk mendapat ujian adalah  selama 5 hari serta ujian hanya dibuat selepas berlaku perang mulut antara saya dan pakar pembedahan wad tersebut.
   Hospital Keningau dibina semasa Datuk Dr. Chua Jui Ming menjadi Menteri Kesihatan dan dilengkapi dengan wad kelas 1, 2 dan 3. Namun sehingga kini wad kelas 1 dan 2 tidak dapat digunakan akibat kekurangan kakitangan samada jururawat atau pegawai perubatan. Hospital yang dibina menggunakan wang rakyat dengan tujuan untuk menjadi nadi perkhidmatan kesihatan bagi Pedalaman Atas akhirnya tidak dapat berfungsi sepenuhnya disebabkan oleh beberapa kelemahan yang sekiranya kerajaan melalui Kementerian Kesihatan bersungguh-sungguh mahu mendahulukan rakyat maka segala kekurangan ini telah lama dapat diselesaikan. Kontraktor yang dianugerahkan projek pembinaan hospital ini telah lama mendapat manfaat malah telah menjadi jutawan tetapi malang bagi rakyat Pedalaman yang menjadi penyebab kepada terbinanya hospital ini tidak mendapat manfaat jitu dari kewujudannya.
   Hospital Keningau mempunyai seorang pakar radiologi yang berpengalaman namun pengalaman itu tidak dapat dipraktikkan sepenuhnya kerana hospital ini sering mengalami masalah kerosakan mesin ultrasound bahkan kalau berfungsi pun ianya disifatkan oleh kakitangan hospital sebagai kurang ketepatan keputusannya berbanding yang terdapat di hospital swasta. Sehingga artikel ini ditulis sudah lebih dua bulan mesin ultrasound tersebut rosak dan pesakit terpaksa pergi ke Kota Kinabalu untuk menjalani pemeriksaan ultrasound samada di Hospital Pakar Rafflesia atau lain-lain hospital swasta yang mengenakan bayaran sekitar RM80.00 hingga RM100.00 bagi sekali perkhidmatan. Pesakit terpaksa mengambil masa sekitar enam hingga tujuh jam setiap kali berurusan dengan hospital swasta di Kota Kinabalu termasuk masa parjalanan pergi dan balik malah terpaksa menahan kesakitan. Bagi golongan kelas atasan dan menengah, jumlah ini tidak menjadi masalah tetapi bagaimana dengan masyarakat pedalaman yang serba serbi kekurangan. Bagaimanakah slogan rakyat didahulukan benar-benar dihayati oleh para pentadbir. Benarkah wujud rasa tanggungjawab sosial dalam hati para politikus UMNO-Barisan Nasional yang menjadi nadi kerajaan sekarang. Sepatutnya para pemimpin yang mengaku membela rakyat ini menggunakan perkhidmatan hospital kerajaan bukannya hospital swasta bila mereka sakit agar mereka dapat melalui apa yang rakyat marhein rasai. Dengan melalui pengalaman sama yang dirasai oleh rakyat pedalaman barulah pemimpin dapat mengetahui masalah sebenar dan dengan itu barulah satu bentuk solusi yang tuntas dapat dicadangkan kepada Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
   Kerosakan peralatan bukanlah satu-satunya masalah Hospital Keningau ini tetapi terdapat masalah lain yang turut menyebabkan perkhidmatan kesihatan yang merupakan perkara asas kepada rakyat Malaysia dan Pedalaman Atas khasnya  tidak dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat. Kekurangan doktor lebih-lebih lagi rakyat Malaysia  agak kritikal di sini. Terdapat ramai doktor asing yang berkhidmat di Hospital Keningau. Ada diantara mereka yang berkhidmat dengan baik tetapi terdapat sebilangan yang gagal memahami aspirasi dan kehendak masyarakat tempatan. Pakar  Bedah wad 2B misalnya telah berkhidmat di Malaysia lebih dari sepuluh tahun namun masih gagal menguasai Bahasa malaysia dengan baik. Begitu juga doktor perubatan kanan wad berkenaan. Kegagalan menguasai Bahasa Malaysia merupakan satu masalah besar kerana ia boleh mengakibatkan timbul salah faham dari pihak pesakit. Walaupun jururawat boleh membantu namun penerangan dari doktor yang membuat pemeriksaan dan analisis tentunya lebih menyakinkan pesakit. Apakah kriteria yang digunapakai oleh kementerian Kesihatan untuk melantik para doktor asing ini. Adakah terdapat sebarang mekanisma yang berkesan untuk menilai tahap pencapaian mereka sebelum seseorang pakar atau doktor asing itu dilanjutkan tempoh kontrak mereka. Tidakkah penguasaan Bahasa Malaysia menjadi salah satu syarat kepada penyambungan kontrak para pengamal perubatan asing ini. Kementerian jangan semata-mata menilai para doktor asing ini melalui perkhidmatan atau keperluan di bandar-bandar sahaja sebaliknya keperluan rakyat luar bandar dan rakyat pedalaman harus diambil kira. Keperluan dan tahap pengetahuan masyarakat luar bandar dan pedalaman sangat berbeza dengan keperluan dan tahap pemikiran masyarakat bandar. Para pembuat keputusan jangan hanya memutuskan sesuatu dari bilik mesyuarat yang berhawa dingin semata-mata sebaliknya turunlah ke padang untuk mengetahui tinggi rendah padang tersebut.
   Kerajaan Barisan Nasional bukanlah tuan kepada negara ini. Mereka juga bukanlah pemilik kepada negeri Sabah yang kita sayangi ini tetapi mereka merupakan pemegang amanah yang dilantik oleh rakyat melalui undi majoriti dalam pilihanraya. Atas status sebagai pemegeng amanah yang kita lantik maka mereka tidak boleh sewenang-wenangnya membelanjakan wang pendapatan negara dan negeri sebagaimana yang mereka lakukan sebelum ini. Oleh sebab pemegang amanah ini telah tidak amanah maka mereka membelanjakan wang milik negara yang setiap rakyat merupakan pemunya bersama dengan sesuka hati. Mereka memberikan tender membina hospital dan membekal peralatan kepada syarikat yang rapat dengan mereka dan syarikat tersebut menjadikan tender ini sebagai jalan singkat untuk menjadi kaya maka akhirnya peralatan dan perkhidmatan yang dibekalkan tidak berkualiti. Sepatutnya peralatan yang mesti dibekalkan dari gred A tetapi syarikat membekalkan peralatan dari gred B tetapi harga yang dikenakan kepada kerajaan tetap mengikut gred A. Laporan audit yang lalu mendedahkan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu telah membayar sejumlah lebih RM700,000.00 kepada sebuah syarikat pembekal peralatan walaupun syarikat tersebut belum lagi membuat penghantaran kepada pihak hospital. Apakah pegawai kewangan di hospital tersebut berani membayar jumlah yang begitu besar tanpa mendapat sebarang arahan dari orang atasan. Rakyat menunggu untuk mendengar keputusan yang telus berkenaan perkara ini. Kesimpulannya, kepentingan rakyat seringkali dijadikan alasan jitu oleh kerajaan Barisan Nasional apabila mereka mahu menghabiskan duit negara dan rakyat pula sentiasa bersedia untuk dilapah berkali-kali oleh politikus musang berbulu ayam ini. Rakyat mesti berubah untuk kebaikan diri sendiri dan bukan mengharapkan politikus cari makan ini yang berubah. Meraka hanya akan berubah apabila sudah rebah. maka berubahlah sebelum rebah.