Wednesday, October 27, 2010

APLIKASI DIRI SEBAGAI PEJUANG GERAKAN ISLAM

   Sudah lebih 50 tahun PAS bertapak di bumi Malaysia dengan keahlian hampir mencecah sejuta orang. PAS telah melalui zaman naik turun dalam  persada politik Malaysia. Kemuncak kegemilangan PAS adalah selepas PRU 12 apabila memenangi 23 kerusi parlimen dan dapat menawan Kedah serta mengekalkan Kelantan dengan kemenangan bergaya. Kejayaan menembusi negeri-negeri lain walau tidak dapat menubuhkan kerajaan merupakan satu pencapaian yang membanggakan. Sayugia para pendokong PAS harus sedar bahawa kemenangan yang dinikmati sekarang bukan bersifat kekal. Jika para pejuang yang telah diberi amanah oleh rakyat gagal menjalankan amanah mereka sudah tentu rakyat akan kecewa dan bukan mustahil kekecewaan itu diterjemahkan melalui penolakan dalam PRU 13 akan datang. Kita tidak boleh terlalu berharap kepada fenomena sentimen penolakan rakyat terhadap UMNO-BN semata-mata. PRU 12 yang lalu membuktikan bahawa sebahagian besar orang-orang melayu khususnya peneroka felda, masyarakat kampung dan golongan oppurtunis masih mengundi UMNO-BN. Kesetiaan peneroka felda dan masyarakat kampung kepada kerajaan sekarang adalah disebabkan  oleh taraf pendidikan mereka yang minima. Dengan pendidikan yang minima maka orang-orang melayu mudah digula-gulakan dengan berbagai janji kemajuan yang bersifat abstrak. Apakah yang dapat difahami oleh orang kampung berkenaan belanjawan negara yang mana sumber beritanya hanya TV tigasuku atau sekadar pembacaan Utusan Meloya dan Berita Hairan semata-mata? Apatah lagi bila dimomokkan dengan angka berbilion ringgit yang kononnya untuk rakyat jelata.Walhal jika dihitung, dikira sebenarnya tiada apa yang dapat dinikmati secara langsung olah rakyat bawahan dikampung-kampung dari belanjawan yang dibuat oleh kerajaan setiap tahun. Rakyat makin terhimpit oleh berbagai kenaikan manakala golongan opportunis dan kapaitalis yang mempunyai hubungan akrab dengan kerajaan mendapat keuntungan secara langsung dari projek-projek rakyat tadi.
   Di manakah seharusnya para pejuang PAS mesti berada pada ketika ini? Di pentas-pentas ceramah dengan baju batik yang cantik-cantik atau dalam bilik-bilik seminar mendengar ucapan motivasi yang berapi-api kemudiannya dingin beku selepas dua tiga hari. Barangkali juga sedang bermesyuarat tujuh lapan jam untuk merangka gerak kerja yang akhirnya satu keputusan sahaja yang terlaksana manakala lapan lagi tergendala. Bahkan mungkin juga masih ada kawasan yang masih lagi terkial-kial mencari formula untuk menghadapi kemelut dalaman pra kemenangan.Rakyat akan menilai kebolehan kita dan malangnya kebanyakan penilaian rakyat berpandukan pada neraca TV tigasuku serta komponennya yang dibedung oleh UMNO-BN. Jika kita mahu mendapat penilaian yang adil dari rakyat maka kita mesti bekerja lebih bijak, lebih kuat, lebih baik, lebih hebat, lebih jujur dan lebih segala-galanya berbanding UMNO-BN. Maka tidur kita harus dikurangkan, ibadat ditingkatkan, was-was dihilangkan, keyakinan kepada janji Allah di suburkan, sifat jumud jangan dibiar bersarang bahkan hiasai dengan sifat kasih sayang, keterbukaan dan bergeraklah secara amal jamai'i. Penuhilah diri kita setiap para pejuang gerakan Islam ini dengan sifat-sifat yang seharusnya dimiliki oleh seorang hizbullah dan jauhilah sifat-sifat hizbussyaitan.
   Sekarang adalah masa untuk kita turun ke padang bertemu rakyat sama ada di kedai kopi, di stadium, di shopping complex bahkan mungkin di pintu-pintu panggung wayang malah di mana sahaja agar dakwah dapat kita sampaikan. Bagaimana rakyat nak menyokong PAS jika kita dilihat sebagai musuh mereka? Golongan muda adalah bakal penentu kerajaan seterusnya melalui undi mereka. Apakah kita masih mengkelaskan golongan ini kita dekati dan golongan itu biar PKR atau DAP yang urusi. Inilah saatnya kita harus memulakan usaha untuk membuktikan bahawa PAS adalah satu-satunya wadah alternatif kepada UMNO yang relevan untuk semua kaum dan agama di Malaysia tercinta ini.Para pejuang gerakan Islam sekelian, bangunlah dari lena yang panjang, iltizamlah untuk menyusun gerak kerja yang teratur, majulah dalam barisan yang tersusun, gempurlah UMNO-BN untuk menegakan kebenaran di bumi Allah ini.

1 comment: