Saban hari kita dihidangkan dengan berita berkenaan kejadian jenayah yang berlaku samada dalam negara atau di luar negara melalui media pandang dengar, media cetak atau media baharu (internet). Bagaimanapun, kejadian jenayah yang berlaku dalam negara apatah lagi di negeri kita tinggal akan lebih menarik minat kita untuk mengetahuinya. Jenayah adalah penyakit sosial yang sudah lama berakar umbi dalam sesebuah tamadun. Biasanya jenayah akan bermula dari kecil-kecilan dan akan membesar bergantung kepada bagaimana masyarakat berperanan dalam menangani dan membendung sesuatu tindakan yang boleh dikategorikan sebagai satu perlakuan jenayah.
Di negara kita Malaysia khasnya negeri Sabah, kejadian jenayah sering dikaitkan dengan kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) yang tidak dapat dikawal oleh pihak berkuasa. Persoalan sering timbul samada kerajaan sememangnya tidak dapat mengawal atau sengaja tidak mahu mengawal kebanjiran tersebut? Terdapat teori yang mengatakan bahawa pihak kerajaan sengaja membiarkan PTI membanjiri Sabah sebagai kelangsungan untuk kerajaan terus mengekalkan kuasa dengan cara memberi kad pengenalan secara tidak sah kepada para PTI ini. Samada teori ini benar atau salah bukan persoalan yang akan dibincangkan di sini namun teori-teori begini tidak boleh dipandang sepi oleh masyarakat dan pihak berkuasa kerana kemungkinan berlakunya kejadian jenayah yang disebabkan oleh kebanjiran PTI ke Sabah tetap ada. Sayugia diingat bahawa jenayah bukan berkenaan bangsa, bukan berkenaan ugama, bukan berkenaan kewarganegaraan malah bukan juga berkenaan keturunan tetapi jenayah adalah berkait rapat dengan masalah ketiadaan pegangan ugama yang jitu dan faktor keciciran ekonomi (kemiskinan). Pihak berkuasa sering memberi gambaran kepada masyarakat bahawa kejadian jenayah di Sabah tidak membimbangkan namun hakikatnya kejadian jenayah terus berlaku. Berita berkenaan jenayah rogol, rompak, menipu, rasuah, pecah amanah malah pembunuhan setiap hari dapat dibaca di akhbar dan internet malah ditonton di televisyen .
Pihak berkuasa khasnya Polis perlu memberi tumpuan yang lebih terhadap cara-cara menangani dan mencegah kejadian jenayah daripada berlaku. Kaedah mencegah lebih baik daripada mengubati harus dipraktikkan. Pihak polis, pengamal undang-undang dan penggubal undang-undang seharusnya berkerjasama rapat dalam mendepani persoalan jenayah. Amat malang apabila sebahagian besar tenaga, masa dan wang ringgit dibazirkan oleh kerajaan bagi kegunaan Cawangan Khas(SB) untuk mengawal, mengekori, menyiasat malah menakut-nakutkan ahli politik pembangkang dari menyuarakan teguran dan kebenaran. Ini pernah disuarakan oleh mantan Pengarah JSJ PDRM Dato' Fauzi Shaari sebagaimana yang dilaporkan oleh harakah yang menyebut bahawa SB mempunyai kakitangan yang lebih berbanding kakitangan yang menyiasat kes-kes jenayah. Mengapa aktiviti politik yang dijamin kebebasannya oleh perlembagaan Malaysia selagi ianya tidak mengancam keselamatan negara dikawal sedemikian rupa sedangkan aktiviti jenayah tidak diberi penumpuan sebenar. Apakah kerajaan yang diwakili oleh UMNO-Barisan Nasional tidak dapat membezakan antara ancaman terhadap keselamatan negara dan ancaman terhadap kekuasaan UMNO-BN. Kerajaan yang memerintah akan silih berganti tetapi negara dan rakyat akan terus kekal selama mana bumi ini terus berputar dan selagi kiamat belum tiba.
Masyarakat umum, pihak berkuasa dan pemimpin kerajaan harus sedar bahawa sesebuah negara atau negeri yang di dalamnya banyak berlaku kejadian jenayah merupakan negara atau negeri yang tidak mendapat rahmat Allah. Ini disebabkan oleh banyaknya terjadi perlanggaran terhadap hukum dan peraturan Allah yang sepatutnya diikuti oleh manusia. Kejadian jenayah yang berlaku ini sebagai pengajaran atau mungkin juga satu bala dari Allah untuk peringatan seluruh manusia. Kerajaan bermakna kuasa. Kuasa merupakan amanah. Amanah yang dititipkan oleh Allah agar amanah itu dilaksanakan sebaiknya. Allah memberikan kuasa dan kemuliaan kepada sesiapa sahaja yang disukaiNya namun harus juga diingat Allah juga boleh mencabut kuasa dan menimpakan kehinaan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Kerajaan UMNO-BN yang berkuasa sekarang kelihatannya tidak dapat memikul amanah yang diberikan Allah kepada mereka selama 57 tahun ini. Mutakhir ini telah kelihatan tanda-tanda kejatuhan dan kehinaan yang bakal menimpa UMNO-BN akibat perlanggaran dan penghinaan mereka yang berterusan terhadap undang-undang dan hukum Allah SWT. Rakyat mula nampak sikap munafik pihak kerajaan dalam mengamalkan ajaran ugama Islam. Masyarakat mula sedar keegoan dan sikap berdolak dalik kerajaan dalam menangani hubungan antara kaum dan agama di Malaysia. Rakyat mula muak dengan sogokan demi sogokan kebendaan yang bersifat sementara sedangkan rakyat dahagakan pembangunan dari sudut peningkatan pendapatan harian atau bulanan pada masa yang sama kos sara hidup rakyat terus melambung.
Beberapa siri kejadian jenayah yang pernah berlaku amat membimbangkan masyarakat. Kejadian ragut yang menyebabkan seorang wanita putus tangan akibat ditetak di Kelantan, kes kehilangan adik Nurin Jazlin yang kemudiannya ditemui mati dibunuh, Pembunuhan Datuk Sosilawati bersama tiga yang lain, skandal NFZ, skandal scorpene, penyeludupan wang tunai RM40 juta dari lapanganterbang Hong Kong ke Malaysia, Pembunuhan Kartini yang menggemparkan Keningau dan penahanan seorang pegawai Polis berpangkat Inspektor yang disyaki membunuhnya dan yang terbaru pembunuhan seorang remaja perempuan di Kudat. Ini adalah sebahagian kecil kejadian jenayah yang dapat dipaparkan di sini. Banyak lagi yang tidak terungkap malah belum lagi mengambil kira jenayah politik, jenayah fitnah, jenayah moral dan berbagai lagi. Kerajaan gagal dalam menyediakan pendidikan yang dapat melahirkan anggota masyarakat yang memiliki nilai moral yang tinggi walaupun sistem persekolahan di Malaysia mampu menjana para intelektual. Lihatlah sistem politik khasnya parti pemerintah. Bagaimana para ahli politik yang memenangi pilihanraya kemudiannya dilantik sebagai exco atau menteri namun tutur bicara, akhlak malah tindak tanduk mereka jauh dari mendapat redha Allah. Lihatlah bagaimana para cerdik pandai yang menjadi menteri ini mengagihkan kekayaan di sekitar mereka sahaja. Merompak rakyat Kelantan secara terang-terangan melalui penafian terhadap royalti minyak. Merampas tanah-tanah rakyat Sabah atas alasan kepentingan awam namun kemudiannya membahagikan tanah-tanah tersebut kepada kroni mereka. Peluang ekonomi menjadi tidak seimbang maka orang miskin yang merasakan diri mereka tertindas mula memprotes. Ada yang menggunakan saluran politik untuk menyalurkan protes tersebut tetapi ada juga yang mengambil jalan singkat dengan melibatkan diri dalam kegiatan pengedaran dadah, pelacuran, mencuri malah merompak sehinggakan membunuh demi untuk mendapat peluang keadilan ekonomi tadi. Ini antara penyebab mengapa berlakunya peningkatan terhadap kejadian jenayah di negara kita yang tercinta ini. Banyak lagi antara penyebab yang memungkinkan sesuatu kejadian atau tindakan jenayah boleh berlaku.
Dalam ruang yang terhad ini, tentulah huraian dan intipati sebenar tidak dapat diungkapkan dengan sebaiknya. Kepada para pembaca, marilah bersama kita renungi kebenaran di sebalik segala kepincangan dan jenayah yang melanda negara kita ini. Bersamalah kita berazam untuk merungkaikan ikatan pemerintahan kerajaan yang ada sekarang dan menyerahkan amanah pemerintahan kepada kerajaan baru yang lebih baik. Insyaallah.