Friday, June 17, 2011

GSTT ; TPM berbohong ?

   Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Utusan Borneo 17hb. Jun 2011 (Jumaat) telah melaporkan desakan Datuk Masidi Manjun yang merupakan Menteri Pelancongan merangkap Exco Pelajaran Negeri Sabah agar Kementerian Pelajaran Malaysia segera menunaikan janji bagi menyerap Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT)  ke sekolah-sekolah di Sabah. Janji ini telah  dibuat oleh Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia beberapa ketika yang lalu namun sehingga kini janji tersebut  belum lagi menampakkan sebarang tanda positif. Beliau juga katanya ada berbincang dengan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pelajaran Malaysia, Dato' Asariah Mior Shahabudin berkenaan janji Menteri ini namun diberitahu bahawa KPM sedang berbincang dengan Jabatan Pelajaran berkenaan pelaksanaan GSTT tersebut. Sekiranya ia dilaksanakan maka pelaksanaan itu akan dibuat secara berfasa mengikut keperluan sekolah-sekolah yang terlibat.
   Ini merupakan sesuatu yang menarik untuk dibincangkan memandangkan dalam satu program bertemu pelanggan oleh Datuk Pengarah Pelajaran Sabah dengan kalangan pendidik dan PIBG di Nabawan bulan Mei yang lalu, beliau telah membayangkan bahawa persoalan GSTT ini umpama asap yang kelihatan menjulang ke awan dari kejauhan namun gagal di kesan dari manakan punca asap tersebut bermula. Jika ditinjau dari dua kenyataan tokoh pusat dan negeri ini, kita tertanya-tanya adakah janji yang diungkapkan oleh seorang menteri yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri itu sekadar janji orang politik gaya UMNO yang sering berbohong kepada rakyat? Bagaimana seorang Timbalan Perdana Menteri boleh berjanji sedangkan pihak Kementerian belum membuat kajian terhadap kekurangan dan keperluan mengenai GSTT ini? Sebenarnya kekurangan guru di Sabah telah memasuki tahap yang membimbangkan malah ada guru-guru di sekolah pedalaman terpaksa melakukan tugas mengajar tambahan di sebabkan tiada guru untuk subjek-subjek tertentu. Ini bukan sahaja membebankan guru malah boleh mendatangkan kesan yang negetif kepada pelajar memandangkan guru-guru ini terpaksa mengajar subjek yang bukan menjadi kemahiran mereka.
  Kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran bahawa kementerian sedang menilai keperluan terhadap GSTT ini menunjukkan bahawa selama ini kerajaan tidak mempunyai maklumat berkenaan keperluan guru-guru di negara kita atau mungkinkah beliau terpaksa mencari helah untuk menyelamatkan pembohongan Menteri Pelajaran . Ini merupakan sesuatu yang amat malang kepada rakyat dan anak-anak kita yang sedang belajar di bangku sekolah memandangkan rakyat telah memberi kepercayaan kepada UMNO-BN untuk menerajui kerajaan selama lebih 50 tahun. Sekarang kita baru mengetahui bahawa rupanya kerajaan gagal menjalankan tanggungjawab yang terbaik untuk rakyat apatah lagi pendidikan merupakan kunci kepada kejayaan atau kegagalan sesebuah negara tersebut. Adakah kerajaan UMNO-BN sedang memperjudikan nasib rakyat dan negara dengan mengurus tadbir kementerian-kementerian secara sambil lewa? Sepatutnya seorang menteri hanya akan mengeluarkan kenyataan atau janji selepas mendapat maklumat yang lengkap dan sahih dari kementerian. Pengambilan GSTT melibatkan beberapa kementerian termasuk KPM, Kem Kewangan dan JPA kerana ia memerlukan peruntukan kewangan yang besar.
   Para GSTT yang sedang menunggu tawaran dinasihatkan agar berdoa supaya Perdana Menteri membubarkan Parlimen pada tahun ini. Jika ini berlaku kita yakin para GSTT akan mempunyai harapan yang cerah sekurang-kurangnya untuk setahun kontrak perkhidmatan. Kita melihat kerajaan UMNO-BN lebih berminat berjanji dan bertindak demi memenuhi keperluan politik UMNO semata-mata. Sekiranya kerajaan peka dengan kekurangan guru dan bersungguh-sungguh untuk mengangkat martabat pelajaran rakyat dan negara maka sudah tentu GSTT ini telah dipanggil berkhidmat selepas beberapa minggu  ungkapan janji dilontarkan oleh menteri berkenaan. Rakyat haruslah bijak menilai janji seorang ahli politik UMNO-BN yang licik memanipulasikan kesetiaan membuta tuli rakyat terhadap mereka. Berbaloikah kesetiaan rakyat Sabah selama lebih 40 tahun terhadap UMNO-BN  jika soal pendidikan rakyat yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri manusia itu dijadikan modal permainan politik sempit mereka? Barangkali rakyat perlu menilai secara bersungguh-sungguh tawaran yang dibuat oleh Pakatan Rakyat untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat jika PR memerintah. Ketepikan sentimen 'orang kita' untuk sementara kerana selalunya kita akan mudah diperdaya oleh 'orang kita'  berbanding orang bukan 'orang kita'. 'Orang kita' yang kita harapkan itu biasanya akan membesarkan rumah, membesarkan kereta, membesarkan simpanan dan pelaburan, membesarkan tanah malah segala-galanya besar kecuali kita yang akan terus miskin dan kecil. Nilailah 'orang kita' dari sudut khidmat dan kesungguhan mereka terhadap kesejahteraan hidup rakyat seluruhnya bukan dari sudut kaum kerabatnya semata-mata. Semua rakyat Sabah, jom, kita berubah !
  


   


No comments:

Post a Comment