Wednesday, March 2, 2011

APA JADI DENGAN DASAR PENDIDIKAN KITA?

   Membaca laporan akhbar Daily Express yang diterbitkan pada 2hb. Mac 2011 telah meninggalkan kesan kebimbangan yang mendalam terhadap jiwa dan pemikiran saya. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato Sutinah Sutan  menyatakan dalam majlis Hari Integreti UMS bahawa mengikut kajian terbaru yang dijalankan oleh SPRM menunjukkan 1/3 dari pelajar di Malaysia merasakan perbuatan yang menjurus kepada rasuah samada menawarkan, memberi atau menerima rasuah adalah merupakan perkara  biasa dan bukan dianggap satu kesalahan. Sebenarnya ini merupakan persoalan tanggapan individu terhadap perlakuan rasuah tersebut. Para pelaku rasuah melihat perbuatan menawar, memberi dan menerima rasuah ini sebagai satu perbuatan yang biasa walaupun mereka amat memahami bahawa ianya merupakan satu perlakuan jenayah manakala bagi orang yang menentangnya, apa saja perbuatan yang boleh ditakrifkan sebagai rasuah akan menganggap perbuatan ini sebagai satu perkara yang keji dan mesti dijauhi.
   Raymond Tumbong dalam kolum hari Ahad terbitan akhbar Utusan Borneo pernah menulis berkenaan mentaliti rakyat Sabah terhadap kegiatan yang melibatkan rasuah. Menurut beliau umum mengetahui bahawa hampir semua YB di Sabah ada mengambil dan menerima rasuah dari para kontraktor untuk membiayai kuncu-kuncu peliharaan mereka bagi kepentingan politik masing-masing tetapi rakyat menerima perlakuan ini sebagai satu perkara yang semulajadi dalam kehidupan pada hari ini. Bagaimana sebuah masyarakat yang kononnya telah maju boleh dibentuk untuk mempercayai bahawa perbuatan rasuah yang yang keji ini merupakan sesuatu yang biasa malah rakyat berbangga apabila berjaya memenangkan pemimpin-pemimpin politik yang setiap detik bergelumang dengan najis rasuah ini. Bagaimanakah sejarah kegiatan rasuah ini bermula dan adakah masyarakat rela perlakuan rasuah ini menjadi satu budaya dalam kehidupan harian mereka.  
   Jumlah 1/3 dari pelajar seluruh negara yang menganggap rasuah sebagai  perkara biasa merupakan satu  perkara yang malang dan merupakan simptom awal malapetaka yang bakal menimpa kepada kejayaan negara kita dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Lebih malang lagi akhbar pada 3hb. Mac 2011 tidak melaporkan sebarang komen dari mana-mana pemimpin hatta  Menteri Pelajaran berkenaan kenyataan oleh Dato Sutinah tersebut. Apakah matlamat sebenar pimpinan negeri-negeri dan pusat yang membentuk Negara Malaysia ini. Menteri Pelajaran yang merupakan seorang Timbalan Perdana Menteri kelihatannya lebih banyak berpolitik dari menjalankan amanah yang digalaskan kepundak beliau. 
   Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, tanggapan individu akan menentukan samada sesuatu perlakuan tersebut akan ditakrifkan sebagai benar atau salah walaupun kebenaran atau kesalahan sesuatu perlakuan tersebut secara hakikinya telah tersurat. Apakah sentimen yang menyebabkan terlahirnya satu pandangan atau tanggapan terhadap sebarang bentuk perlakuan. Cuba kita andaikan sepohon pokok bunga yang tumbuh dan hidup sendiri tanpa mengalami proses penjagaan yang teratur dibandingkan dengan sepohon bunga yang mendapat penjagaan rapi samada pembajaan, pengairan atau pemangkasan. Bukankah pohon bunga yang mendapat penjagaan tersebut akan hidup labih rimbun, berbunga dan kemas berbanding yang tidak dijaga. Sinonimnya ialah para pelajar kita juga mesti dibentuk sikapnya untuk mendapatkan sahsiah diri yang baik selepas mereka tamat belajar kelak. Pembentukan sikap ini sebahagiannya diperolehi melalui pendidikan di sekolah. Untuk melahirkan para pelapis kepimpinan negeri dan negara yang terbaik pada masa hadapan maka satu bentuk sistem pendidikan yang terbaik mesti digubal oleh pihak kerajaan yang memerintah melalui Kementerian Pelajaran. Dasar Pelajaran negara pada masa kini lebih menjurus kepada akademik semata-mata. Nilai-nilai  yang dibawakan oleh Nabi Muhamad SAW sebagaimana yang difirmankan oleh Allah dalam Al-Quran serta disampai melalui Jibrail Alaihissalam kepada Rasullah telah dikesampingkan oleh kerajaan sekular UMNO-BN. Akibatnya walau setelah 54 tahun merdeka dari British namun pemikiran rakyat Malaysia masih dalam lingkunga Britainisation. 
   Benarlah pepatah bapa kencing berdiri anak kencing berlari, selepas 54 tahun diperintah oleh kerajaan sekular UMNO-BN hasil yang kita dapati sekarang ialah kerosakan sistem pemerintahan, kerosakan sistem masyarakat, kepincangan sistem ekonomi, kacau bilau sistem perundangan, kemusnahan sistem kekeluargaan, kerapuhan hubungan antara kaum dan agama, kerosakan sistem pelajaran sehingga Malaysia gagal membekalkan para doktor, jurutera, arkitek dan banyak lagi tenaga profesional untuk kegunaan dalam negara sendiri sehingga kita terpaksa mengimport para doktor dari luar termasuk myammar yang kita kutuk sebagai tidak demokratik untuk berkhidmat di hospital-hospital kita. Negara Myammar yang tertutup, tidak demokratik dan mundur boleh menghasilkan doktor untuk kegunaan pasaran sedangkan Malaysia yang ditadbir oleh kerajaan yang kononnya cekap masih terpaksa mengimport tenaga kedoktoran ini dari mereka. Bukan itu sahaja, rosaknya sistem pelajaran kita sehinggakan kita gagal membekalkan tenaga-tenaga kerja mahir, separuh mahir malah tidak mahir untuk kegunaan industri, perladangan, perikanan dan pembinaan dalam negara sehingga kita terpaksa membawa masuk berjuta-juta rakyat asing untuk berkhidmat dalam sektor-sektor ini di negara kita. Ini bermakna kita juga turut mengimport berbagai masalah bersama mereka ke dalam negara Malaysia yang tercinta ini malah masalah sosial, ekonomi, kesihatan dan keselamatan sering dicetuskan oleh imigran ini.
   Adakah kita rakyat malaysia sedar bahawa pekerja-pekerja yang dibawa masuk ini telah membawa keluar sejumlah wang yang banyak hasil upah yang mereka terima untuk dikirimkan di negara asal mereka. Ini belum lagi kita perincikan persoalan pendatang tanpa izin yang berleluasa  berkerja dan berniaga dalam negara kita. Berapa banyak transaksi kewangan yang berlaku setiap kali PTI ini mengirim wang balik ke negara asal mereka. Kebanyakan PTI ini berada, berkerja dan berniaga dalam negara kita dengan pengetahuan pihak berkuasa yang berkenaan dengan membayar wang perlindungan alias rasuah kepada pegawai-pegawai tertentu. Bukankah perlakuan para pegawai yang rasuah ini diakibatkan oleh ketidak pekaan mereka terhadap urusan keselamatan, ekonomi dan permasalahan sosial dalam negara hasil dari tindakan rasuah yang dilakukan mereka. Bukankah ketikdak pekaan mereka ini disebabkan oleh rosaknya sistem pelajaran yang mereka terima yang berteraskan sekular selama 54 tahun oleh Kementerian Pelajaran kerajaan UMNO-BN. 
   Sudah sampai detiknya rakyat Malaysia bersatu padu bersama Pakata Rakyak mempersoalkan kepada kerajaan UMNO-BN tentang tanggungjawab yang mereka abaikan terhadap seluruh rakyat. Apabila bala menimpa Malaysia samada kejatuhan ekonomi, wabak penyakit, pertelingkahan antara kaum dan sebagainya akibat dasar UMNO-BN yang korup, maka bukan sahaja penyokong Pakatan Rakyat yang akan terkial-kial menghadapinya malah pendokong tegar UMNO-BN juga akan turut ditimpa musibah tersebut. Ingatlah bala allah serta berusaha dan berdoalah agar terhindar darinya. Salah satu cara berusaha untuk menghindari bala Allah ialah dengan menumbangkan kerajaan yang berlaku tidak adil kepada rakyatnya iaitu UMNO-BN melalui PRU 13 nanti. Para pelajar, ke  manakah arah perjalanan kamu nanti jika rasuah kau samakan seperti upah? Para ibubapa, ke manakah harapan yang akan kamu sandarkan jika anakmu berada dipermulaan kehancuran. Para pemimpin, ke manakah arah mahu kau bawa rakyatmu jika material menjadi landasan perjuangan. Menteri Pelajaran, ke manakah arah dasar pendidikan negara nak kau halakan menjelang abad mendatang. Apakah sekadar memenuhi kepentingan politik sempit partimu yang semakin nazak atau demi memenuhi tembolokmu yang tak pernah kenyang. Ayuh seluruh rakyat Malaysia, ketepikan sentimen perkauman yang sempit, ketepikan perbezaan agama. Bersatulah atas nama Malaysia, tumbangkan UMNO-BN pada PRU 13 nanti. Kita cipta kecemerlangan sejati, kita lakar kegemilangan abadi dan kita berdiri sebagai rakyat Malaysia yang benar-benar terbilang kerana kejayaan menumbangkan UMNO-BN melalui undi kita  dan mendirikan kerajaan yang mengasihi rakyat demi anak cucu kita dan demi agama kita.
    

Wednesday, December 29, 2010

BOLA SEPAK KITA ; SATU PENINGKATAN ?

   Salam perjuangan, malam tadi 29 Disember 2010 jam 9.45pm Pasukan Bolasepak kita ( Harimau Malaya) begitulah gelaran yang diberi, telah mencipta satu sejarah dalam persada sukan bolasepak Malaysia apabila secara aggregat berjaya menewaskan Pasukan Garuda Indonesia 4 gol berbalas 2 melalui dua perlawanan. Tahniah Harimau Malaya dan K. Rajagopal. Dalam perlawanan pertama yang berlangsung sebelum ini di Kuala Lumpur, Malaysia menang 3 - 0. Perlawanan yang sangat menarik dan seimbang dengan semangat yang jelas membara di wajah dan tindakan setiap pemain Malaysia. Walaupun jelas terlihat betapa Pasukan Malaysia dengan gelaran besar Harimau Malaya yang diwarisi dari pasukan yang pernah mengegarkan rantau Asia sekitar tahun 70an dengan dibarisi oleh pemain seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh, R. Arumugam ( sekadar beberapa nama yang disebut ) dan lain-lain lagi, agak kerdil dengan skill, ketepatan hantaran, pengawalan bola malah persefahaman dalam membaca pergerakan rakan sepasukan  jika dibandingkan dengan Pasukan Indonesia. Namun semangat mahu menang untuk negara telah memenangkan mereka. Mereka mula dipuji oleh surat khabar dan peminat. Satu kebangkitan bolasepak Malaysia, begitulah kata banyak orang termasuk pemimpin politik yang selama ini tidak pernah memperdulikan tentang sukan ini secara semangatnya. Kalau adapun hanya sebagai satu medium untuk menonjolkan diri bagi mendapat nama dari masyarakat. Maka peminat termasuklah saya mengharapkan agar dapat menyaksikan satu aksi perlawanan yang lebih baik dari yang dipersembahkan samasa separuh akhir pertama di Kuala Lumpur. Malangnyan dalam perlawanan kedua di Gelora Bung Karno, Jakarta saya agak kecewa kerana mutu permainan Harimau Malaya masih di takuk sebagaimana perlawanan-perlawanan sebelum ini. Bukan mengharapkan yang sebaik permainan dalam liga-liga di Eropah namun seharusnya ketepatan hantaran, skill mengelecek, menerima hantaran bola, membaca pergerakan rakan sepasukan mesti dipertingkatkan. Malah gaya permainan bertahan dengan kelebihan tiga gol semasa perlawanan pertama tidak sepatutnya dipraktikkan lagi. Perlawanan kedua ini sangat berat sebelah apabila Pasukan Garuda terus menerus menyerang dan kita terus menerus bertahan yang mengakibatkan Penjaga Gol kita melepaskan 2 gol walaupun kita telah mendahului 1 - 0 pada awal separuh masa kedua.Taktik bertahan telah mengakibatkan kita dibolosi 2 gol di Jakarta. Namun nasib menyebelahi kita. Peningakatan bermaksud segala bentuk teknik dan taktik perlawanan itu kita baiki. Kita mahu menang tetapi kemenangan itu mestilah kerana mutu permainan kita telah benar-benar berkembang. Kenapa pemain kita cepat berpuas hati? Kita mahu mempertahankan kemenangan ini dan untuk itu sikap ini harus berubah. Taktik permainan harus berubah dari bertahan dan menyerang kepada menyerang dan bertahan. Apapun sekalung tahniah untuk K. Rajagopal.

Wednesday, November 24, 2010

Ceti Haram ; Harus lebih adil dalam membuat justifikasi

   Kelmarin 24 Nov. dalam satu rancangan TV ada membicarakan berkenaan ceti haram. Pembicaranya Dato' Dr Maamor Osman ialah Presiden PPIM. Beliau merupakan seorang dari jutaan penyokong UMNO. Bukan ideologinya yang nak saya kupaskan disini tetapi berkenaan tajuk yang diperbincangkan mereka. Maafkan saya kerana tidak dapat mengingati pengantara program tersebut. Dapat saya rumuskan bahawa perbincangan tersebut lebih menjurus kepada meletakkan kesalahan terhadap peminjam dengan berbagai-bagai justifikasi untuk membenarkan pendapat beliau berkenaan perkara ini. Malangnya setiap kali perbincangan begini timbul RTM gagal memanfaatkan kelebihan mereka untuk turut mengundang pihak lain khususnya pakar-pakar ekonomi Islam yang neutral bagi memberikan pandangan mengikut sudut yang lebih menyeluruh. Apa yang lebih malangnya setiap kali panel pembicara yang dijemput terdiri dari kalangan penyokong kerajaan BN maka kegagalan pihak kerajaan dalam memainkan peranan untuk mengatasi kemelut ceti haram ini tidak dihuraikan secara lebih terbuka.
   Ceti haram bermaksud pemberi pinjam wang tanpa lesen yang sah oleh kerajaan melalui akta pemberi pinjam wang dan mereka juga dikenali  sebagai Along . Mereka bukan perkara baru malah sejak puluhan tahun telah bertapak di Malaysia cuma kaedah yang dilaksanakan tentulah berbeza. Saya masih ingat di Kedah dan Perlis sekitar tahun 60an tuan-tuan tanah yang mempunyai sawah yang banyak akan memberikan pinjaman beras yang kemudiannya akan dibayar secara tangguh oleh orang kampung yang miskin dengan dikenakan faedah tertentu misalnya segantang dibayar dengan dua gantang pada musim berikutnya. Sistem itu terus berjalan tapi telah diambil alih oleh lintah-lintah darat yang bertujuan untuk memutihkan wang-wang hasil kegiatan kongsi gelap yang bermaharaja lela di negara ini. Kongsi-kongsi gelap ini telah cukup stabil dan sekarang adalah masanya untuk mereka 'menghalalkan' wang dari sumber 'haram' tersebut. Adalah sesuatu yang menghairankan jika PDRM tidak mengetahui berkenaan perkara ini sedangkan IGP sudah beberapa kali bertukar. Masakan tiada suatu kajian dilakukan oleh PDRM tentang bagaimana dan ke mana hasil- hasil rompakan dan perniagaan dadah di Malaysia disimpan?
   Along-along yang berkeliaran merupakan pihak yang diamanahkan oleh Orang yang paling berkuasa dalam hierarki mereka untuk melakukan urusniaga ini. Saya tidak percaya PDRM tidak dapat mengesan kegiatan ini cuma persoalannya adakah pihak PDRM serius dalam mencari penyelasaian yang tuntas terhadap masalah ini. Barangkali juga kegiatan ini dinaungi oleh tokoh-tokoh perniagaan dan ahli-ahli politik  tertentu yang telah menyumbang terhadap kekayaan parti-parti pemerintah? Maka sebarang bentuk perbincangan yang cuba meletakkan kesalahan terhadap para peminjam semata-mata adalah sangat dangkal dan tidak bertanggungjawab. Kementerian Kewangan sepatutnya boleh memainkan peranan dangan menwujdkan satu peraturan yang mesti dipatuhi oleh bank-bank agar lebih telus dan mengutama khidmat kepada masyarakat dalam memberikan pinjaman kepada orang ramai. Syarat-syarat pinjaman misalnya mestilah lebih fleksibel tidak seperti sekarang yang lebih bersifat seperti 'ceti berlesen'. Para peniaga kecil mesti diperakui sebagai salah satu penyumbang kepada pembangunan aliran tunai negara agar mereka turut mempunyai peluang membuat pinjaman yang lebih mudah bagi memajukan perniagaan mereka.
    Pusat zakat mesti ditingkatkan keupayaannya bukan sahaja dari sudut perolehan tetapi juga dari sudut mengagihkan hak-hak lapan golongan yang berhak terhadap zakat tersebut. Rakyat miskin sering mengeluh untuk mendapatkan hak mereka dari Baitulmal tetapi bangunan-bangunan pusat zakat didirikan dengan sangat mewah. Jangan pula wang zakat ini dibelanjakan oleh kerajaan kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Para intelek seperti Dato' Dr Maamor Osman mesti  memusatkan pemikiran mereka bagi membantu menangani sebab musabab kepada permasalahan ini. Tidaklah cukup dengan mengadakan program perbincangan di TV kemudian berhujah untuk menyalahkan peminjam semata-mata. Mengapa tidak dipersoalkan kemana perginya beratus juta wang zakat yang sepatutnya dapat digunakan sebagai salah satu mekanisma untuk menyelesaikan persoalan keperluan golongan miskin. Adakah mereka sedar bahawa golongan peminjam terdiri dari orang-orang yang sudah kehabisan wang. Kalau mereka mempunyai 'kabel' dengan pemimpin UMNO-BN tentu mereka tidak akan meminjam dari ceti haram kerana 'kabel-kabel' ini akan mendapatkan projek untuk mereka. Jangan takut untuk menegur pemimpin yang tidak beriman kepada Allah SWT.
   Barangkali Dr Maamor akan menyatakan bahawa cara pengurusan kewangan yang lemah sebagai salah satu faktor peminjam terpaksa meminjam dari Along tetapi adakah kita sedar bahawa semenjak tadika hingga STPM sistem pendidikan di Malaysia tidak pernah memasukkan satu kurikulumpun berkenaan pengurusan kewangan terhadap anak-anak kita. Satu bentuk sistem pendidikan Islam yang merangkumi pengurusan kewangan Islam mesti diwujudkan agar para pelajar dapat mempraktikkannya bila mereka keluar dari sekolah pada satu ketika kelak. Saya percaya ibubapa bukan Islam akan turut bersetuju dengan cadangan ini demi kebaikan anak-anak mereka tetapi kerajaan haruslah jujur. Jangan ditakut-takutkan orang bukan Islam dengan kebaikan Islam sebagaimana yang sering digambarkan terhadap PAS selama ini.
   Saya ingin menyarankan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kembali kepada Allah dalam menguruskan amanah Allah ini. Tiada keuntungan yang lebih baik selain mentadbir negara dengan berpandukan kepada Kitabullah dan semua contah teladan telah ditunjukkkan oleh Rasulullah SAW dalam menerajui kerajaan Islam yang pertama di bumi.

Sunday, November 21, 2010

Carilah persamaan dalam perjuangan

Salam Perjuangan,
   Hampir setiap hari kita menonton berita di Radio Televisyen  Mereka  (RTM) tentang PKR salah satu sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat. Memang meloya mendengar cerita-cerita yang sering diulang siar itu. Mereka turut menbesar-besarkan statement yang dibuat oleh beberapa orang yang tidak berpuashati dengan perjalanan pemilihan PKR kali ini.Samada Zaid Ibrahim dan kumpulannya yang tidak betul atau Anuar Ibrahim - Azmin Ali yang bersalah sukar bagi kita untuk menerkanya. Coretan ini bukanlah bertujuan untuk mencari siapa yang benar atau siapa yang salah tetapi sebagai rakan dalam PR maka kita mestilah bersikap perihatin terhadap sebarang perkembangan yang  berlaku terhadap rakan seperjuangan kita. Malangnya kadangkala kita sering terlupa bahawa ombak yang membadai perahu kita turut menyebabkan perahu orang lain teroleng bersama. 
    Marilah kita menganggap tulisan ini sebagai suntikan untuk meningkatkan cara kerja dalam menghadapi perjuangan yang belum tentu penghujungnya ini. Kepelbagaian dalam organisasi  tentunya amat sukar untuk disatukan apatah lagi di saat ahli dan penyokong melihat ghanimah di depan mata.Namun haruslah diingat bahawa kejayaan yang sebenar adalah bilamana para pemimpin dapat mentadbir organisasi dengan penuh keadilan dan mengambil kira kepentingan semua pihak dalam organisasi. Kegagalan pula sering berlaku apabila pimpinan terlalu ghairah untuk menyusun barisan jentera yang terbaik mengikut kehendak sendiri dengan mengabaikan kehendak akar umbi. Sedarlah bahawa tidak pernah akan ada satu kumpulan yang amat sempurna dalam perjalanan dunia saat ini tetapi yang wujud hanyalah satu kumpulan yang saling berjuang atas dasar keyakinan kepada Allah SWT dan mengamalkan sikap bertolak ansur serta saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.
    Jika sifat ini dapat dijelmakan oleh barisan pimpinan dalam mana-mana parti sekutu PR maka perjalanan untuk mengapai kemenangan tidak terlalu sukar untuk dijangkau. Harus di ingat bahawa rakyat yang menjadi pengundi BN adalah di kalangan orang-orang kampung yang amat terhad sumber maklumatnya. Jika gatal dalam kain kita digaru hingga orang lain di luar nampak maka, amat sukar untuk kita meneutralkannya. Pimpinan yang hebat seperti Anuar Ibrahin dan Azmin Ali tentu tahu bagaimana sukarnya untuk mendapat sokongan padu rakyat bagi memenangkan PR  sedangkan untuk mendapat sokongan dari kalangan ahli parti sendiri sangat menyesakkan. Kerana itu, kembalilah kepada Allah untuk melihat siapa kawan dan siapa lawan untuk perjuangan yang hanya Allah sahaja yang berhak untuk memenangkannya.
   Jika perjuangan kita membujur lalu melintang patah, maka janganlah diharapkan kemenangan. Buangkanlah sifat hipokrit dan berpura-pura kerana semakin kita berpura-pura  semakin terdedah kepada rakyat kebenarannya. Perjuangan ini bukan hanya milik kita tetapi perjuangan ini adalah milik semua. Kepada semua pejuang tulen, ingatlah bahawa setiap perlakuan kita sentiasa dalam pengawasan Allah Azzawajalla.
  


Wednesday, October 27, 2010

APLIKASI DIRI SEBAGAI PEJUANG GERAKAN ISLAM

   Sudah lebih 50 tahun PAS bertapak di bumi Malaysia dengan keahlian hampir mencecah sejuta orang. PAS telah melalui zaman naik turun dalam  persada politik Malaysia. Kemuncak kegemilangan PAS adalah selepas PRU 12 apabila memenangi 23 kerusi parlimen dan dapat menawan Kedah serta mengekalkan Kelantan dengan kemenangan bergaya. Kejayaan menembusi negeri-negeri lain walau tidak dapat menubuhkan kerajaan merupakan satu pencapaian yang membanggakan. Sayugia para pendokong PAS harus sedar bahawa kemenangan yang dinikmati sekarang bukan bersifat kekal. Jika para pejuang yang telah diberi amanah oleh rakyat gagal menjalankan amanah mereka sudah tentu rakyat akan kecewa dan bukan mustahil kekecewaan itu diterjemahkan melalui penolakan dalam PRU 13 akan datang. Kita tidak boleh terlalu berharap kepada fenomena sentimen penolakan rakyat terhadap UMNO-BN semata-mata. PRU 12 yang lalu membuktikan bahawa sebahagian besar orang-orang melayu khususnya peneroka felda, masyarakat kampung dan golongan oppurtunis masih mengundi UMNO-BN. Kesetiaan peneroka felda dan masyarakat kampung kepada kerajaan sekarang adalah disebabkan  oleh taraf pendidikan mereka yang minima. Dengan pendidikan yang minima maka orang-orang melayu mudah digula-gulakan dengan berbagai janji kemajuan yang bersifat abstrak. Apakah yang dapat difahami oleh orang kampung berkenaan belanjawan negara yang mana sumber beritanya hanya TV tigasuku atau sekadar pembacaan Utusan Meloya dan Berita Hairan semata-mata? Apatah lagi bila dimomokkan dengan angka berbilion ringgit yang kononnya untuk rakyat jelata.Walhal jika dihitung, dikira sebenarnya tiada apa yang dapat dinikmati secara langsung olah rakyat bawahan dikampung-kampung dari belanjawan yang dibuat oleh kerajaan setiap tahun. Rakyat makin terhimpit oleh berbagai kenaikan manakala golongan opportunis dan kapaitalis yang mempunyai hubungan akrab dengan kerajaan mendapat keuntungan secara langsung dari projek-projek rakyat tadi.
   Di manakah seharusnya para pejuang PAS mesti berada pada ketika ini? Di pentas-pentas ceramah dengan baju batik yang cantik-cantik atau dalam bilik-bilik seminar mendengar ucapan motivasi yang berapi-api kemudiannya dingin beku selepas dua tiga hari. Barangkali juga sedang bermesyuarat tujuh lapan jam untuk merangka gerak kerja yang akhirnya satu keputusan sahaja yang terlaksana manakala lapan lagi tergendala. Bahkan mungkin juga masih ada kawasan yang masih lagi terkial-kial mencari formula untuk menghadapi kemelut dalaman pra kemenangan.Rakyat akan menilai kebolehan kita dan malangnya kebanyakan penilaian rakyat berpandukan pada neraca TV tigasuku serta komponennya yang dibedung oleh UMNO-BN. Jika kita mahu mendapat penilaian yang adil dari rakyat maka kita mesti bekerja lebih bijak, lebih kuat, lebih baik, lebih hebat, lebih jujur dan lebih segala-galanya berbanding UMNO-BN. Maka tidur kita harus dikurangkan, ibadat ditingkatkan, was-was dihilangkan, keyakinan kepada janji Allah di suburkan, sifat jumud jangan dibiar bersarang bahkan hiasai dengan sifat kasih sayang, keterbukaan dan bergeraklah secara amal jamai'i. Penuhilah diri kita setiap para pejuang gerakan Islam ini dengan sifat-sifat yang seharusnya dimiliki oleh seorang hizbullah dan jauhilah sifat-sifat hizbussyaitan.
   Sekarang adalah masa untuk kita turun ke padang bertemu rakyat sama ada di kedai kopi, di stadium, di shopping complex bahkan mungkin di pintu-pintu panggung wayang malah di mana sahaja agar dakwah dapat kita sampaikan. Bagaimana rakyat nak menyokong PAS jika kita dilihat sebagai musuh mereka? Golongan muda adalah bakal penentu kerajaan seterusnya melalui undi mereka. Apakah kita masih mengkelaskan golongan ini kita dekati dan golongan itu biar PKR atau DAP yang urusi. Inilah saatnya kita harus memulakan usaha untuk membuktikan bahawa PAS adalah satu-satunya wadah alternatif kepada UMNO yang relevan untuk semua kaum dan agama di Malaysia tercinta ini.Para pejuang gerakan Islam sekelian, bangunlah dari lena yang panjang, iltizamlah untuk menyusun gerak kerja yang teratur, majulah dalam barisan yang tersusun, gempurlah UMNO-BN untuk menegakan kebenaran di bumi Allah ini.

Saturday, September 18, 2010

Musa tepis cerita masalah BN Sabah

sumber: http://malaysiakini.com/news/142962


Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman sekali lagi menepis cerita-cerita mengenai permasalahan dalam BN negeri, sambil berkata parti-parti komponen di Sabah sentiasa mempunyai hubungan yang baik dan saling berkerjasama antara satu sama lain.

"Dari mula lagi saya melihat tidak ada masalah sebenarnya yang berlaku dalam BN Sabah. Kita sentiasa bersatu, bekerjasama dan faham memahami dan menghormati antara satu sama lain.

"Mungkin ada orang tertentu (berlainan pendapat), tapi bagi kita saya katakan yang 
penting bukan individu tetapi perjuangan parti...Jadi kita sedia berunding, kita sedia berbincang, tidak ada masalah," kata Musa yang juga pengerusi BN Sabah ketika ditemui di rumah terbuka Hari Raya anjuran Umno bahagian Kota Kinabalu hari ini.

Musa diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Liew Vui Keong semalam, yang menggesa parti-parti komponen BN negeri mengetepikan perselisihan dan bekerjasama untuk terus mendapatkan sokongan rakyat Sabah, supaya sama-sama memastikan kemenangan di pilihan raya umum akan angdatang.

Liew membuat gesaan itu sebagai respon terhadap nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengamalkan prinsip kerjasama dan semangat BN ketika menangani masalah dengan rakan komponen BN yang lain.

Timbalan presiden LDP Datuk Chin Su Phin baru-baru ini menyuarakan ketidakpuashatian, di mana katanya mereka tidak dapat bekerjasama dengan Musa namun akan terus bekerjasama dengan Umno dan setia dengan BN.

Berikutan itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin mengumumkan beliau berundur daripada LDP dan meletakkan jawatan sebagai naib presiden parti itu. Musa mengekalkan beliau dalam kabinet negeri buat masa ini sehingga perbincangan antara rakan komponen lain dibuat.

"Seperti apa yang saya katakan selalu, apa juga masalah dalam BN kita boleh bincang bersama dan selesaikan bersama.

"Yang penting saya katakan khususnya kepada ahli-ahli Umno, bahawa kita mesti mengutamakan perjuangan parti bukannya mementingkan peribadi...supaya apa juga masalah yang ada kita boleh selesaikan dengan baik, itu cara kita," tegas Musa.

Ditanya sama ada beliau memberi tarikh akhir kepada Pang untuk menyertai mana-mana parti, Musa berkata tidak ada tempoh masa diberikan.

Sementara itu setiausaha BN Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan ketika ditanya tarikh mesyuarat BN negeri yang seterusnya, berkata mereka belum lagi memilih tarikh tetapi akan mengadakannya selepas memperhalusi penubuhan jawatankuasa kecil yang telah dipersetujui pada mesyuarat 24 Ogos lalu.

"Mesyuarat BN akan datang akan mengemukakan struktur jawatankuasa kecil itu, yang akan mengambil sedikit masa kerana kini Hari Raya, apabila ia telah dilakukan saya pasti kita akan memanggil mesyuarat BN negeri akan datang," katanya.

Jawatankuasa kecil itu dikatakan akan membincangkan isu-isu penting berkenaan Sabah, seperti masalah pendatang tanpa izin (Pati).

Abdul Rahman juga menjelaskan setiap komponen parti diberikan masa yang cukup untuk menyuarakan pendapat masing-masing dalam mesyuarat BN negeri itu, namun terdapat kekangan masa untuk membincangkan semua isu.

"Anda mesti faham bahawa perbincangan secara terbuka diadakan antara Pengerusi BN negeri (Musa) dan parti komponen lain pada setiap masa, jadi ia bukan hanya dalam mesyuarat BN (mereka boleh cakap)," katanya.

Chin mendakwa antara sebab LDP tidak sanggup bekerja denga Musa adalah kerana tidak puas hati dengan perjalanan mesyuarat pada 24 Ogos lalu, di mana pandangan pemimpin komponen lain tidak mendapat ruang.

--Bernama