Wednesday, November 24, 2010

Ceti Haram ; Harus lebih adil dalam membuat justifikasi

   Kelmarin 24 Nov. dalam satu rancangan TV ada membicarakan berkenaan ceti haram. Pembicaranya Dato' Dr Maamor Osman ialah Presiden PPIM. Beliau merupakan seorang dari jutaan penyokong UMNO. Bukan ideologinya yang nak saya kupaskan disini tetapi berkenaan tajuk yang diperbincangkan mereka. Maafkan saya kerana tidak dapat mengingati pengantara program tersebut. Dapat saya rumuskan bahawa perbincangan tersebut lebih menjurus kepada meletakkan kesalahan terhadap peminjam dengan berbagai-bagai justifikasi untuk membenarkan pendapat beliau berkenaan perkara ini. Malangnya setiap kali perbincangan begini timbul RTM gagal memanfaatkan kelebihan mereka untuk turut mengundang pihak lain khususnya pakar-pakar ekonomi Islam yang neutral bagi memberikan pandangan mengikut sudut yang lebih menyeluruh. Apa yang lebih malangnya setiap kali panel pembicara yang dijemput terdiri dari kalangan penyokong kerajaan BN maka kegagalan pihak kerajaan dalam memainkan peranan untuk mengatasi kemelut ceti haram ini tidak dihuraikan secara lebih terbuka.
   Ceti haram bermaksud pemberi pinjam wang tanpa lesen yang sah oleh kerajaan melalui akta pemberi pinjam wang dan mereka juga dikenali  sebagai Along . Mereka bukan perkara baru malah sejak puluhan tahun telah bertapak di Malaysia cuma kaedah yang dilaksanakan tentulah berbeza. Saya masih ingat di Kedah dan Perlis sekitar tahun 60an tuan-tuan tanah yang mempunyai sawah yang banyak akan memberikan pinjaman beras yang kemudiannya akan dibayar secara tangguh oleh orang kampung yang miskin dengan dikenakan faedah tertentu misalnya segantang dibayar dengan dua gantang pada musim berikutnya. Sistem itu terus berjalan tapi telah diambil alih oleh lintah-lintah darat yang bertujuan untuk memutihkan wang-wang hasil kegiatan kongsi gelap yang bermaharaja lela di negara ini. Kongsi-kongsi gelap ini telah cukup stabil dan sekarang adalah masanya untuk mereka 'menghalalkan' wang dari sumber 'haram' tersebut. Adalah sesuatu yang menghairankan jika PDRM tidak mengetahui berkenaan perkara ini sedangkan IGP sudah beberapa kali bertukar. Masakan tiada suatu kajian dilakukan oleh PDRM tentang bagaimana dan ke mana hasil- hasil rompakan dan perniagaan dadah di Malaysia disimpan?
   Along-along yang berkeliaran merupakan pihak yang diamanahkan oleh Orang yang paling berkuasa dalam hierarki mereka untuk melakukan urusniaga ini. Saya tidak percaya PDRM tidak dapat mengesan kegiatan ini cuma persoalannya adakah pihak PDRM serius dalam mencari penyelasaian yang tuntas terhadap masalah ini. Barangkali juga kegiatan ini dinaungi oleh tokoh-tokoh perniagaan dan ahli-ahli politik  tertentu yang telah menyumbang terhadap kekayaan parti-parti pemerintah? Maka sebarang bentuk perbincangan yang cuba meletakkan kesalahan terhadap para peminjam semata-mata adalah sangat dangkal dan tidak bertanggungjawab. Kementerian Kewangan sepatutnya boleh memainkan peranan dangan menwujdkan satu peraturan yang mesti dipatuhi oleh bank-bank agar lebih telus dan mengutama khidmat kepada masyarakat dalam memberikan pinjaman kepada orang ramai. Syarat-syarat pinjaman misalnya mestilah lebih fleksibel tidak seperti sekarang yang lebih bersifat seperti 'ceti berlesen'. Para peniaga kecil mesti diperakui sebagai salah satu penyumbang kepada pembangunan aliran tunai negara agar mereka turut mempunyai peluang membuat pinjaman yang lebih mudah bagi memajukan perniagaan mereka.
    Pusat zakat mesti ditingkatkan keupayaannya bukan sahaja dari sudut perolehan tetapi juga dari sudut mengagihkan hak-hak lapan golongan yang berhak terhadap zakat tersebut. Rakyat miskin sering mengeluh untuk mendapatkan hak mereka dari Baitulmal tetapi bangunan-bangunan pusat zakat didirikan dengan sangat mewah. Jangan pula wang zakat ini dibelanjakan oleh kerajaan kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Para intelek seperti Dato' Dr Maamor Osman mesti  memusatkan pemikiran mereka bagi membantu menangani sebab musabab kepada permasalahan ini. Tidaklah cukup dengan mengadakan program perbincangan di TV kemudian berhujah untuk menyalahkan peminjam semata-mata. Mengapa tidak dipersoalkan kemana perginya beratus juta wang zakat yang sepatutnya dapat digunakan sebagai salah satu mekanisma untuk menyelesaikan persoalan keperluan golongan miskin. Adakah mereka sedar bahawa golongan peminjam terdiri dari orang-orang yang sudah kehabisan wang. Kalau mereka mempunyai 'kabel' dengan pemimpin UMNO-BN tentu mereka tidak akan meminjam dari ceti haram kerana 'kabel-kabel' ini akan mendapatkan projek untuk mereka. Jangan takut untuk menegur pemimpin yang tidak beriman kepada Allah SWT.
   Barangkali Dr Maamor akan menyatakan bahawa cara pengurusan kewangan yang lemah sebagai salah satu faktor peminjam terpaksa meminjam dari Along tetapi adakah kita sedar bahawa semenjak tadika hingga STPM sistem pendidikan di Malaysia tidak pernah memasukkan satu kurikulumpun berkenaan pengurusan kewangan terhadap anak-anak kita. Satu bentuk sistem pendidikan Islam yang merangkumi pengurusan kewangan Islam mesti diwujudkan agar para pelajar dapat mempraktikkannya bila mereka keluar dari sekolah pada satu ketika kelak. Saya percaya ibubapa bukan Islam akan turut bersetuju dengan cadangan ini demi kebaikan anak-anak mereka tetapi kerajaan haruslah jujur. Jangan ditakut-takutkan orang bukan Islam dengan kebaikan Islam sebagaimana yang sering digambarkan terhadap PAS selama ini.
   Saya ingin menyarankan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kembali kepada Allah dalam menguruskan amanah Allah ini. Tiada keuntungan yang lebih baik selain mentadbir negara dengan berpandukan kepada Kitabullah dan semua contah teladan telah ditunjukkkan oleh Rasulullah SAW dalam menerajui kerajaan Islam yang pertama di bumi.

Sunday, November 21, 2010

Carilah persamaan dalam perjuangan

Salam Perjuangan,
   Hampir setiap hari kita menonton berita di Radio Televisyen  Mereka  (RTM) tentang PKR salah satu sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat. Memang meloya mendengar cerita-cerita yang sering diulang siar itu. Mereka turut menbesar-besarkan statement yang dibuat oleh beberapa orang yang tidak berpuashati dengan perjalanan pemilihan PKR kali ini.Samada Zaid Ibrahim dan kumpulannya yang tidak betul atau Anuar Ibrahim - Azmin Ali yang bersalah sukar bagi kita untuk menerkanya. Coretan ini bukanlah bertujuan untuk mencari siapa yang benar atau siapa yang salah tetapi sebagai rakan dalam PR maka kita mestilah bersikap perihatin terhadap sebarang perkembangan yang  berlaku terhadap rakan seperjuangan kita. Malangnya kadangkala kita sering terlupa bahawa ombak yang membadai perahu kita turut menyebabkan perahu orang lain teroleng bersama. 
    Marilah kita menganggap tulisan ini sebagai suntikan untuk meningkatkan cara kerja dalam menghadapi perjuangan yang belum tentu penghujungnya ini. Kepelbagaian dalam organisasi  tentunya amat sukar untuk disatukan apatah lagi di saat ahli dan penyokong melihat ghanimah di depan mata.Namun haruslah diingat bahawa kejayaan yang sebenar adalah bilamana para pemimpin dapat mentadbir organisasi dengan penuh keadilan dan mengambil kira kepentingan semua pihak dalam organisasi. Kegagalan pula sering berlaku apabila pimpinan terlalu ghairah untuk menyusun barisan jentera yang terbaik mengikut kehendak sendiri dengan mengabaikan kehendak akar umbi. Sedarlah bahawa tidak pernah akan ada satu kumpulan yang amat sempurna dalam perjalanan dunia saat ini tetapi yang wujud hanyalah satu kumpulan yang saling berjuang atas dasar keyakinan kepada Allah SWT dan mengamalkan sikap bertolak ansur serta saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.
    Jika sifat ini dapat dijelmakan oleh barisan pimpinan dalam mana-mana parti sekutu PR maka perjalanan untuk mengapai kemenangan tidak terlalu sukar untuk dijangkau. Harus di ingat bahawa rakyat yang menjadi pengundi BN adalah di kalangan orang-orang kampung yang amat terhad sumber maklumatnya. Jika gatal dalam kain kita digaru hingga orang lain di luar nampak maka, amat sukar untuk kita meneutralkannya. Pimpinan yang hebat seperti Anuar Ibrahin dan Azmin Ali tentu tahu bagaimana sukarnya untuk mendapat sokongan padu rakyat bagi memenangkan PR  sedangkan untuk mendapat sokongan dari kalangan ahli parti sendiri sangat menyesakkan. Kerana itu, kembalilah kepada Allah untuk melihat siapa kawan dan siapa lawan untuk perjuangan yang hanya Allah sahaja yang berhak untuk memenangkannya.
   Jika perjuangan kita membujur lalu melintang patah, maka janganlah diharapkan kemenangan. Buangkanlah sifat hipokrit dan berpura-pura kerana semakin kita berpura-pura  semakin terdedah kepada rakyat kebenarannya. Perjuangan ini bukan hanya milik kita tetapi perjuangan ini adalah milik semua. Kepada semua pejuang tulen, ingatlah bahawa setiap perlakuan kita sentiasa dalam pengawasan Allah Azzawajalla.